comscore
Tumpuan :
Nasional

Keputusan permohonan ke UA bagi lepasan STPM, setaraf diumum esok

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) peringkat Sarjana Muda sesi akademik 2024/2025 bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sijil setaraf akan diumumkan esok.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, keputusan boleh disemak mulai jam 12 tengah hari esok hingga jam 5 petang, 15 September depan.

Keputusan boleh disemak melalui platform dalam talian melalui pautan https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my atau https://jpt.umt.edu.my.

Selain itu, semakan keputusan juga boleh dibuat melalui aplikasi UPUPocket di telefon pintar.

“Pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 7 September 2024 hingga 15 September 2024 di laman sesawang UA masing-masing.

“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada (calon) yang berjaya mulai 7 September setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lepasan sijil setaraf merujuk kepada Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Matrikulasi, Asasi dan Diploma.

Mengulas lanjut, KPT berkata, hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan.

Rayuan boleh dilakukan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai jam 12 tengah hari esok hingga jam 5 petang pada 15 September depan.

“Tawaran tempat bagi sesi akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan.

“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan UPUOnline boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di alamat Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Aras 4, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, Putrajaya.

Pertanyaan juga boleh dibuat sama ada menghubungi talian 03-8684 2363, menerusi e-mel ke [email protected] atau laman media sosial rasmi di KEMASUKAN BPKP JPT (Facebook), @KEMASUKANBPKA (Instagram) dan BKPAUPU (TikTok).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini