comscore
Tumpuan :
Nasional

Keputusan pembenihan awan tertakluk pada jawatankuasa khas – EXCO Perak

Operasi pembenihan awan. – Foto hiasan

IPOH: Keputusan untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Perak, susulan cuaca kering dan penyusutan empangan Kolam Bukit Merah, akan ditentukan oleh Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata operasi itu melibatkan isu teknikal dan kerajaan negeri perlu mendapatkan pandangan daripada jabatan-jabatan teknikal terlebih dahulu.

“Sebelum melakukan pembenihan awan, kerajaan negeri perlu mengambil kira beberapa faktor dan keperluan bagi memastikan proses berkenaan berhasil memandangkan ia menelan kos yang agak tinggi serta tidak berlaku pembaziran,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas itu terdiri daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Paras empangan Kolam Bukit Merah yang menjadi sumber utama air bagi kegunaan domestik dan pertanian terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping semakin menyusut berpunca daripada cuaca panas.

Pada Selasa, JPS Daerah Kerian terpaksa menghentikan bekalan pengairan untuk kegunaan sektor pertanian disebabkan paras air di empangan itu menyusut kepada 6.096 meter.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini