![](https://media.buletintv3.my/2022/09/CMS-50-768x403.jpg)
KUALA LUMPUR: Kongres Persatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang memutuskan pekerja yang mengalami kecederaan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dari kampung halaman layak membuat tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai petanda baik kepada golongan itu.
Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata ini kerana ia adalah keputusan daripada mahkamah dan berkemungkinan sebelum ini terdapat situasi yang tidak jelas hingga pihak terbabit menolak permohonan pencarum berkenaan.
“MTUC menyambut baik keputusan mahkamah dan apabila mahkamah kata pencarum itu layak, kita hormati keputusan itu kerana ia dibuat atas sebab dia ingin ke tempat kerja walaupun sedang bercuti,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, BH melaporkan Mahkamah Rayuan memutuskan pekerja yang mengalami kecederaan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dari kampung halaman layak membuat tuntutan terhadap PERKESO.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dianggotai Datuk Lee Swee Seng, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berpendapat bahawa Akta PERKESO perlu ditafsirkan secara meluas dan bebas dalam konteks tanggungjawab sosial korporat bagi membolehkan pekerja membuat perjalanan ke tempat kerja mereka dari kampung halaman pada hujung minggu.
Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah memutuskan kecederaan yang dialami N Sathiaseelan dianggap sebagai kecederaan pekerjaan di bawah Seksyen 24(1)(a) Akta PERKESO 1969 walaupun berlaku pada hari cuti.
Mohd Effendy berkata, pencarum yang sebelum ini membuat permohonan yang sama tetapi ditolak oleh PERKESO boleh mengemukakan rayuan kepada Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS).
Namun katanya, jika hasil persidangan JRKS turut menolak rayuan permohonan, pencarum berkenaan boleh membuat permohonan ke mahkamah.
“Pencarum yang tidak berpuas hati dengan keputusan mempunyai hak untuk membawa isu itu ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya. -BERITA HARIAN