Tumpuan :
Nasional

Keputusan Lembaga Tatatertib Diserah Kepada Cikgu Fadli Esok

Datuk Dr Radzi Jidin (tengah atas) hadir pada sesi pengenalan jurulatih sukan Touch ternama dunia, Peter Walters di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) di sini hari ini.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang bersidang hari ini berhubung isu guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh akan diserahkan kepadanya esok.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, keputusan itu akan disampaikan melalui ketua jabatan guru tersebut.

“Persidangan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan berhubung isu tersebut baru sahaja tamat dan esok urusetia di lembaga berkenaan akan sampaikan keputusan kepada Cikgu Fadli melalui ketua jabatan,” katanya kepada pemberita selepas sesi pengenalan jurulatih sukan Touch ternama dunia, Peter Walters di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadual bersidang hari ini setelah menerima surat representasi yang dikemukakan oleh Mohd Fadli pada Jumaat lalu.

Datuk Pkharuddin dilaporkan berkata, surat terbabit adalah pemakluman kepada guru berkenaan supaya memberi penjelasan bertulis mengenai dakwaan yang diterima Lembaga Tatatertib serta keperluan guru berkenaan mengemukakan representasi.

Katanya, surat itu tidak membawa maksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan tetapi prosedur tatatertib dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993 yang mana ia digunakan untuk semua penjawat awam dalam perkhidmatan termasuk dirinya sendiri.

Terdahulu, Mohd Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat, kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Beliau dalam hantaran menerusi Facebooknya turut menyatakan, bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.

Menurut surat yang dimuat naik guru berkenaan, Mohd Fadli diberikan tempoh 21 hari untuk mengemukakan representasi kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan bagi membela diri.

Mengulas lanjut, Datuk Dr Radzi berkata, perkara yang dibangkitkan Mohd Fadli telah diambil tindakan oleh KPM seperti isu beg berat.

Menurutnya, KPM pada 6 Mac lalu telah memperkenalkan tujuh inisiatif bagi menangani perkara tersebut antaranya penyusunan jadual waktu dan pemasangan lokar.

“Sehingga kini, hampir 40 peratus lokar ini sudah dipasang di sekolah dan ianya masih dalam proses pemasangan seperti mana kita janjikan sebelum ini, kita akan usahakan supaya ia dapat disiapkan.

“Berkaitan silibus pula, silibus hari ini adalah yang diperkenalkan pada 2017, maknanya pendekatan untuk silibus itu dah dibincang dan dibina sebelum tahun itu. Silibus ini juga disediakan oleh guru yang berpakaran dalam bidang masing-masing.

“Apabila silibus diperkenalkan ianya akan melalui satu pusingan, bermakna untuk Sekolah Rendah, silibus ini diperkenalkan pada 2017 dan akan digunakan sehingga 2022 (darjah satu hingga enam) dan lengkaplah satu pusingan, manakala bagi Sekolah Menengah Kebangsaan, silibus diperkenalkan pada tahun 2017 dan berakhir tamat 2021 sebab mereka hanya lima tahun tingkatan satu hingga tingkatan lima.

“Saya telah jelaskan banyak kali yang KPM terbuka dan ambil pandangan semua pihak berhubung isu silibus ini, kita sentiasa semak silibus ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan ahli politik untuk tidak menggunakan isu silibus sebagai modal politik untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Nasihat ikhlas saya kepada ahli politik, jangan politikkan isu silibus kerana KPM memang sentiasa semak silibus ini dan kita mahukan yang terbaik.

“Ada beri pandangan bahawa contohnya undi18 kenapa tiada dalam silibus, jadi pandangan ini kita ambil kira dan ada kata silibus Matematik terlalu sukar, kita dengar semua pandangan itu dan dalam proses semak semula silibus, katanya.

 

Loading...
Terkini