KAJANG : Keputusan berhubung pelaksanaan waktu kerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu dijangka diketahui minggu depan menerusi pengumuman khas Kementerian Sumber Manusia (KSN).
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, banyak perkara perlu diumumkan berhubung perkara itu.
“Kita minta sabar lagi seminggu, kita (KSN) akan buat pengumuman khas sebab banyak perkara perlu umum mengenai waktu kerja, cuti, peranan kementerian, institusi kawal selia lain dan sebagainya.
“Saya akan adakan pengumuman khas,” katanya ringkas dalam sidang media, hari ini.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu jemputan dalam Program Diskusi Minda TV: Isu Pekerja Asing di Malaysia, Apa Penyelesaiannya anjuran Majlis Profesor Negara, hari ini. – HARIAN METRO