Tumpuan :
Nasional

Keputusan Kabinet batal projek rintis WBB bukan flip-flop – Dr Dzulkefly

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap pada Konvensyen Nasional 2024 Parti Amanah Negara di Hotel KSL Esplanade, Klang. FOTO NSTP

KLANG: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan pembatalan projek rintis Waktu Berkerja Berlainan (WBB) buat pegawai perubatan bukan satu keputusan “flip-flop” daripada kerajaan.

Dr Dzulkefly yang juga Naib Presiden Parti AMANAH berkata, projek rintis yang bertujuan mengurangkan beban dan tekanan kerja pakar perubatan itu masih dalam peringkat percubaan ketika dibatalkan.

“Sejak awal, saya lihat sendiri keadaan ‘burnout’ di kalangan doktor. Ada yang bekerja berlebihan sehingga melebihi 33 jam. Mungkin ramai tidak tahu, tetapi dalam bidang dan disiplin tertentu, mereka bekerja melebihi 33 jam,” katanya.

Justeru, Jawatankuasa Penasihat dan Tindakan Perubatan (MAAC) ditugaskan mencari jalan penyelesaian baharu, dengan pembabitan 10 ketua pakar perubatan.

“Selama hampir setahun, mereka berusaha keras untuk merangka dasar baharu bagi menggantikan sistem sedia ada.

“Bagaimanapun, isu (berkaitan WBB) timbul apabila surat mengenai sistem itu bocor. Apabila ia didedahkan kepada umum, doktor seluruh negara yang tidak terbabit dalam proses itu mula mempersoalkan mengapa mereka tidak diajak berbincang.

“Saya kemudian mengambil pendirian membawa perkara ini ke Kabinet kerana tidak boleh membuat keputusan sendiri. Keputusan Kabinet adalah untuk membatalkannya.

“Saya ingin tegaskan bahawa ini bukan ‘flip-
flop’ kerana tiada keputusan muktamad mengenai WBB dibuat (pada waktu itu). Jawatankuasa masih menjalankan kajian dan kebocoran surat itu adalah satu kesilapan,” katanya ketika berucap di Konvensyen Nasional Amanah 2024 di Hotel KSL Esplanade, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Dr Dzulkefly berkata, pembatalan projek rintis WBB itu adalah keputusan tegas kerajaan untuk memastikan doktor seluruh negara akan dilibatkan dalam sesi perbincangan pada masa hadapan.

Jumaat lalu, Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Abu Bakar Suleiman.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pula menyifatkan tindakan kerajaan membatalkan projek rintis itu sebagai keputusan wajar, mengambil kira kebimbangan dibangkitkan pelbagai pihak terutama impak pelaksanaannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini