KUALA LUMPUR: Sebuah kereta rosak selepas dihempap kepingan besi besar yang terjatuh dari kawasan pembinaan bangunan di Jalan Ampang, ibu negara siang tadi.
Kepingan besi itu dipercayai jatuh dari tingkat 56 bangunan 80 tingkat yang sedang dibina.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata ketika kejadian, kereta berkenaan diparkir di tepi jalan dan pemiliknya pergi ke sebuah kedai serbaneka berdekatan sebelum kepingan besi menghempap kereta mangsa.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur ketika dihubungi,memaklumkan pihaknya tiada menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit.