Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Kepincangan dalam pengendalian serta keputusan tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran tanpa penelitian menyeluruh oleh anggota pentadbiran dikenal pasti faktor utama Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh secara muktamad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu antara penemuan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sepanjang mengendalikan isu kedaulatan itu.
Sehubungan itu, Suruhanjaya berkenaan telah mengesyorkan tindakan-tindakan untuk memastikan isu-isu yang dikenal pasti dapat ditangani secara menyeluruh.
Ia melalui perhatian dan tindakan segera bagi menjamin pelaksanaan pengurusan dan pentadbiran terhadap perkara berkaitan kedaulatan negara secara lebih
efektif dan terkawal.
Menurut Azalina, secara amnya, syor dan cadangan Laporan Suruhanjaya merangkumi dua aspek utama iaitu penambahbaikan melalui tindakan dari segi perundangan dan bukan perundangan.
“Tanggungjawab perlindungan kedaulatan negara harus dikongsi bersama dengan membentuk rangka kerja bersepadu antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, yang terdiri daripada anggota pentadbiran dan penjawat awam bagi menjaga kedaulatan, memastikan keselamatan dan integriti wilayah perairan, serta mengekalkan kedudukan negara di persada antarabangsa,” katanya.
Azalina berkata demikian ketika membentangkan usul laporan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Dewan Rakyat petang tadi.
Ia turut dibahaskan 10 Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok termasuk Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Perbahasan itu disifatkan penting sebagai penterjemahan mendokong ketegasan Perdana Menteri dan barisan Jemaah Menteri dalam memastikan isu kedaulatan negara diberi
perhatian serius selepas usul dibentangkan dalam Parlimen.
Media sebelum ini melaporkan RCI itu mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.
Tindakan berkenaan merupakan antara yang disyorkan RCl dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat sebelum ini.
Menurut laporan itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas bekas perdana menteri itu mengikut Seksyen 415 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun sama dan juga di bawah Seksyen 418 kanun sama.
Prosiding itu diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Kabinet diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
ICJ pada 23 Mei 2008, memutuskan Singapura punya hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah milik Malaysia dan hak milik Tubir Selatan akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.