Tumpuan :
Nasional

Kepala dihempap pokok hiasan Krismas

Julius (dua dari kanan) mengalami bengkak di kepala akibat dihempap hiasan pokok Krismas yang terjatuh di sebuah pusat beli-belah. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Sambutan Krismas seorang warga Singapura bertukar pengalaman pahit apabila pokok hiasan Krismas yang tergantung di sebuah pusat beli-belah di sini, jatuh menghempap kepalanya, hari ini.

Kejadian berlaku ketika mangsa mahu mengambil gambar anak dan isterinya.

Isteri mangsa, Aileen Tan, 39, memberitahu mereka masih terkejut dengan kejadian itu.

“Suami (Julius Lee, 44) saya berada di luar merry go round untuk mengambil gambar saya dan anak. Secara tiba-tiba  pokok hiasan krismas jatuh. Memang terkejut dan tak jangka sama sekali. Ia berlaku sangat pantas.

“Mujur anak bersama saya. Kalau dia dalam stroller (kereta sorong kanak-kanak) mesti dia pun kena sama. Cuma dia terkejut dan terus menangis,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurut Aileen, suaminya mengalami bengkak di kepala dan dibawa ke klinik oleh pihak pengurusan pusat beli-belah terbabit.

Menurutnya, dia bersama suami dan anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun tiba di negara ini  sejak Rabu lalu bagi meraikan sambutan Krismas.

“Kami datang untuk menyambut Krismas. Hari ini memang merancang untuk berjalan-jalan di dalam pusat beli-belah ini. Malangnya, lain pula yang terjadi,” katanya.

Ketika kejadian, pengunjung yang berada di situ turut terkejut dan cuba membantu mangsa sebelum pasukan keselamatan pusat beli-belah berkenaan tiba.

Susulan kejadian itu, pihak pengurusan beli-belah segera mengalihkan pokok hiasan yang terjatuh.

 

Loading...
Terkini