comscore
Tumpuan :
Nasional

Kepala air Slim River: Lebih 100 penduduk terperangkap

Foto: Ihsan JBPM

SLIM RIVER: Kira-kira 109 penduduk dari beberapa buah kampung terperangkap dalam banjir selepas kejadian kepala air berlaku di Kampung Sungai Bil, Slim Village dan akibat empangan pecah di Kampung Ulu Slim, Slim Village, dekat sini, semalam.

Kejadian lewat petang itu membabitkan Kampung Sungai Bil Slim Village, Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil Slim Village dan Kampung Pasir dan Eco Park RISDA di Ulu Slim, Slim Village.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 6.46 petang yang memaklumkan satu kejadian kepala air berlaku di Kampung Sungai Bil Slim Village.

Foto: Ihsan JBPM

Katanya, polis juga menerima laporan tempat rawatan air di Empangan Kampung Pasir Ulu Slim pecah berhampiran kampung terbabit.

“Jumlah mangsa yang terperangkap di Kampung Sungai Bil Slim Village seramai 50 orang, Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil pula seramai 15 orang.

“Di Kampung Pasir Ulu Slim pula, seramai 25 orang dan Eko Park Risda Ulu Slim seramai 19 orang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Datuk Azizi berkata, sebanyak tiga buah jambatan runtuh membabitkan jambatan jalan utama Slim Village, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong Sungai Bil.

Katanya, hasil tinjauan anggota polis dari Balai Polis Slim Village bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pula mendapati paras air naik kira-kira 0.5 meter di halaman rumah penduduk akibat limpahan air sungai yang membabitkan sembilan buah rumah.

“Selepas menerima laporan tempat rawatan air di Empangan Kampung Pasir Ulu Slim Pecah kemudian anggota bersama JBPM dan APM menuju ke Kampung Pasir tetapi jambatan di kampung berkenaan telah runtuh.

“Bot digunakan untuk membantu mangsa yang terperangkap dan kemudian sekali lagi polis menerima laporan jambatan jalan utama Slim Village berhampiran Balai Polis Slim Village juga runtuh serta ditutup,” katanya.

Foto: Ihsan JBPM

Beliau berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Pasir dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di sekitar kampung terbabit.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menyelamatkan sembilan mangsa yang terperangkap selepas kediaman mereka dinaiki air akibat kejadian kepala air di Kampung Pasir, Slim River di sini malam tadi.

Penolong Pengarah Operasinya Sabarodzi Nor Ahmad dalam satu kenyataan berkata, operasi penyelamatan dijalankan menggunakan bot fiber dan kesemua mangsa kemudian dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Kg Pasir.

Hujan berterusan sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Mualim dilanda banjir dan kepala air.

Kejadian itu juga mengakibatkan Jambatan Slim Village runtuh dan ditutup kepada semua kenderaan.

Sementara itu, beliau berkata sekurang-kurangnya 15 orang dipercayai terperangkap akibat kepala air di Risda Eco Park, Ulu Slim River, dekat Mualim dalam kejadian 6 petang semalam.

Beliau berkata kepala air dan pokok tumbang menyebabkan mereka tidak dapat keluar dari kawasan berkenaan.

Pihaknya menerima laporan namun tidak dapat sampai ke lokasi akibat jalan runtuh tetapi melalui pemantauan kesemua mangsa berjaya berlindung di kawasan selamat.

“Air juga sudah surut dan mangsa dapat keluar dari kawasan berkenaan dalam keadaan selamat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini