SLIM RIVER: 19 individu yang terperangkap akibat kejadian kepala air di Risda Eco Park Kampung Ulu Slim berada dalam keadaan selamat, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya kini dalam keadaan bersedia susulan jambatan untuk ke pusat rekreasi itu runtuh.
“Mangsa terperangkap melibatkan 10 dewasa dan 9 kanak-kanak, kesemua mangsa berada di khemah masing-masing dilaporkan selamat dan stabil menurut sumber daripada pengurus tempat rekreasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata air sungai belum surut dan pihaknya menunggu sehingga keadaan selamat untuk bergerak ke lokasi yang terletak kira-kira 800 meter dari jambatan berkenaan.
“Tiada akses lain untuk menyeberangi seterusnya ke lokasi kejadian. Trend air menurun namun arus masih deras,” katanya.
Terdahulu dilaporkan sekurang-kurangnya 109 individu terperangkap akibat kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village, Slim River di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, maklumat kejadian diterima pada 6.45 petang melibatkan Kampung Sungai Bil, Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil, Kampung Pasir Ulu Slim dan Risda Eco Park, Ulu Slim.
Beliau berkata insiden kepala air berlaku di Kampung Sungai Bill disusuli tempat rawatan air di Empangan Kampung Pasir Ulu Slim pecah berhampiran Stesen Janakuasa Hidro Sungai Slim.
Kejadian itu juga mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu Jambatan Utama Slim Village, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong dekat Sungai Bil.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.