comscore
Tumpuan :
Nasional

Kepala air Jeram Mawar paling dahsyat dan menggerunkan

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Fenomena kepala air yang berlaku di Jeram Mawar, Air Putih di sini pada Sabtu lalu dianggap antara paling dahsyat pernah berlaku di Kampung Air Putih malah bunyi arusnya boleh didengar penduduk yang tinggal jauh dari lokasi.

Lebih menyedihkan, fenomena kepala air setinggi 5 hingga 10 meter itu turut merentap 7 nyawa dan 3 lagi mangsa masih belum ditemui.

Dahsyat impaknya, beberapa mayat mangsa ditemui sejauh 25 kilometer dari tempat perkelahan.

Kebanyakan mayat mangsa ditemukan terdampar di tebing sungai dan tersangkut pada pokok di darat.

Artikel berkaitan: Tragedi kepala air : Polis sahkan mayat ke-7 ialah Putri Balqis Izzati Abdul Rahman

Berdasarkan keadaan mayat yang ditemukan, kepala air yang berlaku antara jam 5 hingga 6 petang pada hari kejadian telah menyebabkan paras air di kawasan jeram itu meningkat sehingga mencecah ketinggian kira-kira 10 meter.

Kesemua 10 mangsa yang berkelah di lokasi tersebut dipercayai gagal menyelamatkan diri sebelum dihanyutkan arus deras di Sungai Air Putih-Teladas.

 

Nasib yang menimpa mangsa ketika itu sukar digambarkan.

Kebiasaannya, mayat mangsa lemas ditemukan di dasar sungai atau terapung di dalam sungai berdasarkan beberapa kes kejadian lemas dilokasi sama sebelum ini.

Namun mayat mangsa kepala air di Jeram Mawar, Air Putih ini ditemukan dalam keadaan agak tragis.

Selepas lapan jam kejadian dipercayai berlaku, mayat mangsa pertama, Azizah Eiyi, 40, ditemukan kira-kira pukul 12.45 tengah hari kira-kira 24 kilometer dari lokasi kejadian sebelum mayat anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemukan empat jam kemudian hanya dua kilometer dari lokasi kejadian.

Artikel berkaitan: Tragedi kepala air: Abang sedih, tidak sempat menyaksikan adik bersanding

Hari kedua operasi mencari dan menyelamat dilakukan, mayat ketiga iaitu Muhammad Haziq Ziqree,6, ditemukan pada pukul 11.05 pagi, kira-kira 18 kilometer dari lokasi kejadian, sementara mayat keempat dan kelima iaitu Putri Aryana Umaira,4, dan kakaknya, Putri Nurerina Natasya, 10 ditemukan sejam kemudian iaitu kira-kira pukul 12.05 tengah hari, pada timbunan kayu yang sama pada jarak enam kilometer.

Mayat bapa mereka, Karim Abdullah, 39, ditemukan tiga jam kemudian iaitu pukul 3.15 petang hanya satu kilometer dari lokasi kejadian manakala mayat ketujuh iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, ditemui hari ini pukul 7.45 pagi berhampiran sungai di belakang Masjid Kampung Dadong, iaitu kira-kira 24 kilometer.

Sehingga pukul 3 petang tadi, tiga lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin, 14, Putri Alleya Maisarah, 16, dan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, masih belum ditemukan.

Artikel berkaitan: Tragedi kepala air: SAR empat lagi mangsa tertumpu di tiga sungai pagi ini

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, hujan lebat luar biasa sebanyak 106.5 milimeter mungkin menjadi faktor utama tragedi tersebut berlaku pada petang Ahad.

“Berdasarkan rekod cerapan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hujan yang berlaku beberapa hari sebelum kejadian hanya 0.5 milimeter hingga 0.9 milimeter, namun pada hari kejadian, hujan terlalu ekstrem berlaku.

“Kita percaya kekuatan air ini cukup ganas, yang mana hujan ekstrem ini menyebabkan kawah yang terbentuk di kawasan air terjun melimpah dan membawa sisa-sisa kayu besar dan batu besar ke Sungai Teladas dan sekaligus menghempap mangsa yang mungkin sedang mandi dan berehat di kawasan kejadian,” katanya.

Artikel berkaitan: Tragedi kepala air: Seluruh keluarga gembira pergi berkelah, bawa bakul makanan, alatan memasak

Dalam pada itu, seorang penduduk, Mohd. Yusof Sulong, 60, berkata, dia menyifatkan tragedi kepala air itu sebagai insiden paling buruk pernah berlaku di daerah ini hingga meragut banyak nyawa.

Menurutnya, kejadian yang menimpa 10 mangsa itu mengejutkan penduduk kampung dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Biasanya, kalau ada tragedi lemas pun, hanya melibatkan seorang atau dua mangsa dan kalau ada insiden kepala air pun, tidak meragut nyawa sebab penduduk kampung sudah tahu, kalau hujan di kawasan hulu, kami tak pergi ke tempat perkelahan sebab kita tak tahu kalau-kalau hujan di hulu itu sangat lebat, memang berisiko untuk terjadi kepala air,” katanya.

Artikel berkaitan: Tragedi kepala air:  Putri Balqis, Muhammad Fikri patut kahwin Disember ini

Jeram Mawar kini ditutup sementara kepada pengunjung atas faktor keselamatan dan bagi memberi ruang kepada anggota penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Loading...
Terkini