SLIM RIVER: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan sisa kayu serta pokok yang hanyut dalam kejadian kepala air di Sungai Slim, semalam bukan berpunca daripada aktiviti pembalakan haram.
Sebaliknya, menurut beliau, pokok hanyut terbabit mungkin sisa kayu yang ditinggalkan dan dibawa arus deras selepas hujan lebat.
“Saya tidak rasa itu hasil aktiviti pembalakan haram kerana kadang-kadang ada kayu-kayu ditinggalkan yang kemudiannya hanyut akibat arus deras,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Zambri Mat Kasim dan Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Ir Lokman Abd Rahim.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Saarani berkata, JKR akan melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kayu itu hari ini.
“Pemulihan akan dilakukan segera kerana kita tak nak kalau hujan datang lagi petang ini, segala kayu-kayu tersebut akan dibawa pula ke hilir dan lagi banyak jambatan terbabit,” katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Saarani dilaporkan berkata, Jambatan Lama Sungai Slim yang mendapat jolokan jambatan “Battle of Slim” dengan panjang 77 meter (m) dan lebar 7.5m itu runtuh akibat tidak dapat menahan tekanan daripada kayu-kayu balak yang hanyut bersama-sama aliran air banjir.
Susulan itu, beliau berkata, laluan terbabit ditutup sementara untuk langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
Beliau turut mengumumkan pembinaan jambatan Bailey bagi menggantikan jambatan asal itu yang dijangka mengambil masa lima hingga tujuh hari untuk disiapkan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.