PETALING JAYA: Kenyataan terbaharu bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar kononnya dia telah dikambing hitamkan dan diarah menutup mulut serta dibayar jutaan ringgit melalui peguamnya disifatkan tidak mempunyai merit dan tidak berasas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, ia hanyalah satu kenyataan liar dibuat Sirul yang boleh menimbulkan lebih banyak spekulasi.
Menurut beliau, Sirul telah diberi peluang untuk membela diri selari dengan Perlembagaan dan undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini.
”Namun, dakwaan beliau itu tidak pernah pula dikemukakan di mana-mana mahkamah yang mengadili Sirul dari Mahkamah Tinggi sehingga Mahkamah Persekutuan.
“Sekiranya, beliau yakin dan merasakan perlu keadilan bahawa terdapat keterangan-keterangan baharu, Sirul atau melalui peguamnya boleh membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang perlu berkaitan dakwaan tersebut,” katanya, hari ini.
Sirul jelasnya, masih belum mengemukakan permohonan untuk membuat semakan ke atas hukuman mati yang dikenakan ke atasnya selari dengan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat, Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan 2023.
Menurutnya, Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Australia, namun hukuman mati yang dikenakan ke atas Sirul menyebabkan dia tidak dapat diekstradisi ke negara ini.
Ini kerana, Australia tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati ke atas pesalah jenayah di negara mereka.
Justeru, salah satu syarat perjanjian ekstradisi boleh dilaksanakan ialah kesalahan terbabit mestilah mempunyai Dual Criminality, iaitu satu kesalahan mestilah menjadi kesalahan jenayah bagi kedua-dua negara yang juga mempunyai hukuman sama.
Jelas Razarudin, sekiranya Sirul berhasrat untuk kembali ke tanahair, dia atau peguamnya boleh membuat permohonan agar hukuman mati dipinda kepada hukuman lain seperti hukuman pemenjaraan.
Jika itu berlaku barulah Malaysia boleh mengemukakan permohonan ekstradisi untuknya menjalani hukuman di negara ini.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Pembebasan Sirul, Australia dijangka tidak beri kerjasama – Ketua Polis Negara
- [VIDEO] Sirul dibebaskan dari tahanan imigresen Australia
- [VIDEO] Keluarga Altantuya menang tuntutan saman, dapat ganti rugi RM5 juta
- Kes saman Altantuya: Kerajaan, Razak Baginda fail rayuan
- 6 terbabit skandal 1MDB, SRC antara 10 rakyat Malaysia dalam senarai Notis Merah INTERPOL
- Sirul masih tersenarai dalam notis merah Interpol, walaupun ingin terus menetap di Australia