comscore
Tumpuan :
Nasional

Kenyataan menteri berkenaan GISBH dikemuka di Parlimen minggu depan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan membuat kenyataan menteri (ministerial statement) berkenaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) pada sidang Parlimen yang dijadualkan bermula pada minggu depan.

Saifuddin Nasution berkata, Ahli Parlimen juga diberi peluang untuk berbahas mengenai isu berkenaan.

“Global Ikhwan (GISBH) rencana (kenyataan menteri) adalah pada hari kedua sesi Parlimen (Mesyuarat Ketiga Parlimen ke-15) akan ada kenyataan menteri yang dibentang di Parlimen.

“Jadi, ia memberi peluang kepada Ahli Parlimen untuk mengikuti (perkembangan GISBH) dan kemudian berbahas,” katanya pada Sesi Libat Urus dan Merarau Menteri Dalam Negeri bersama Ketua Pengarang Media, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Kamaruddin Mape.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berpendapat bahawa isu GISBH adalah sesuatu yang dominan sehingga menghiasi dada akhbar dan menarik minat rakyat.

“Jadi biarlah Parlimen kita jadikan platform untuk berkongsi apakah langkah yang sedang diambil mengenai tajuk ini,” katanya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Global pada awal September lalu dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Setakat ini, seramai 625 mangsa berusia lingkungan dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan.

Saifuddin Nasution berkata, tindakan dan siasatan PDRM terhadap GISBH berpandukan kepada 11 akta termasuk Akta Kanak-Kanak 2001 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Bila siasatan selesai dan tiada berkaitan pelanggaran hukum (undang-undang), kita pulangkan 70 (mangsa kepada keluarga), yang belum kita selesaikan, kita siasat dan tiada pelanggaran hukum, tiada pelecehan seksual misalnya, kita pulangkan (mangsa kepada keluarga).

“Tindakan itu semua dipandukan oleh batas undang-undang yang polis diberi kuasa,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, beberapa negeri seperti Perlis, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan memfatwakan kepercayaan serta ajaran dalam GISBH adalah menyeleweng dan mengandungi unsur ajaran sesat.

Semalam, seramai 16 ahli GISBH yang ditahan reman sebelum ini ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, penahanan semula itu turut dilakukan ke atas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan pimpinan tertinggi rangkaian GISBH.

Sepanjang operasi Fasa 1 Op Global hingga Fasa 4 dilaksanakan, PDRM membuka 97 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk satu kertas siasatan jenayah terancang di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini