comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kenduri kahwin tular, dua kereta ‘parking’ atas bumbung rumah

Awang Ali Abdullah, 64, menunjukkan dua buah kereta miliknya iaitu Perodua Kancil dan Proton Saga yang diletakkan di atas bumbung konkrit rumahnya di Kampung Matang Bonglai Kechil, Ayer Hitam yang menarik minat orang ramai sehingga tular di media sosial.-FOTO: NSTP

JERLUN: Hanya kerana tiada ruang untuk memarkir dua kereta kerana hendak memasang khemah kenduri cucu saudaranya, seorang penduduk di Kampung Matang Bonglai Kechil, Ayer Hitam di sini nekad meletakkan Perodua Kancil dan Proton Saga di atas bumbung rumahnya.

Awang Ali Abdullah, 64, mengambil tindakan di luar jangkaan itu menggunakan kren sambil dibantu anak saudaranya yang lain, Khamis lalu.

Bukan itu sahaja, bumbung rumahnya juga dibuat dengan binaan konkrit.

“Saya tak sangka benda ini akan ditularkan di media sosial kerana niat saya hanya nak ‘parking’ sementara dua kereta atas bumbung rumah untuk pasang khemah majlis kenduri semalam.

“Dengan hanya 30 minit, dua kereta itu berjaya diangkat naik di atas bumbung konkrit dan tak sangka ada yang merakam video dan menularnya sehingga ramai orang datang untuk bergambar.

“Ada yang datang dari jauh termasuk dari Pulau Pinang hanya untuk mengambil gambar kereta Perodua Kancil dan Proton Saga di atas bumbung rumah saya ini,” katanya.

Awang Ali berkata, kenduri yang dihadiri lebih 1,500 tetamu semalam juga bertukar meriah apabila kebanyakan tetamu tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan berlatarkan dua kereta miliknya di atas bumbung rumah.

Katanya, disebabkan itu dia bercadang untuk membiarkan dua kereta itu di atas bumbung rumahnya dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi untuk memberi peluang orang ramai merakam gambar.

“Dua kereta itu masih boleh digunakan dan saya menggunakan kedua-duanya sejak lebih 10 tahun lalu dan semuanya masih dalam keadaan baik.

“Saya pun terkejut bila anak-anak saudara tunjuk video yang sudah tular di Tik Tok dan tak sangka video itu mendapat tontonan ramai,” katanya.

Sementara itu, pengantin baharu, Shahira Zamzuri, 27, berkata, dia sebelum itu tidak tahu datuk saudaranya meletakkan dua kenderaan itu di atas rumah dan hanya mengetahuinya keesokan harinya.

“Saya sibuk menguruskan majlis kenduri dan tidak tahu langsung hal yang berlaku di luar rumah dan dimaklumkan kereta itu diletakkan sejak Khamis lalu.

“Saya cuma tahu apabila ada ahli keluarga memaklumkan sudah ada video kereta itu di Tik Tok, dan apabila melihatnya saya pun terkejut tetapi bangga kerana ramai yang memberi reaksi positif.

“Masa majlis kenduri semalam pun ramai tetamu yang datang memaklumkan kawasan rumah kami sudah tular di media sosial disebabkan dua kereta di atas bumbung,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di lokasi itu hari ini mendapati, ramai ahli keluarga dan penduduk berhampiran datang ke rumah Awang Ali untuk melihat keadaan dua kereta itu yang masih berada di atas bumbung konkrit berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini