comscore
Tumpuan :
Nasional

Kenderaan pengangkut kereta perisai ATM terbalik di Lebuhraya KL-Karak

KUALA LUMPUR: Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai (KPKP) dari 4 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (4 KPD Mek) bersama muatan dua Kenderaan Jenis A (KJA) ADNAN terbabit dalam kemalangan jalan raya di kilometer (KM) 35.2 dari Terowong Genting Sempah menuju ke Tol Gombak, dekat sini, hari ini.

Kejadian pada jam 4.45 petang berlaku ketika kenderaan milik pasukan Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (7 RRD Mek) menuruni bukit kawasan berkenaan.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia dalam kenyataan berkata, kenderaan berkenaan dalam perjalanan secara konvoi sebanyak enam KPKP yang membawa 12 KJA dari Kem Batu 10, Kuantan menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas untuk Latihan Peningkatan Tempur (LPT).

“Melalui laporan awal yang diterima, kemalangan disebabkan KPKP cuba untuk mengelak sebuah trailer awam yang telah menukar haluan dan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba.

“Disebabkan keadaan jalan yang licin akibat cuaca hujan, KPKP hilang kawalan dan seterusnya terbabas ke jalan bertentangan.

“Kerosakan adalah keseluruhan bahagian Prime Mover KPKP manakala tiada kerosakan pada KJA dan pemandu KPKP tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, kenderaan lain yang berada di dalam konvoi meneruskan perjalanan ke Kem Perdana Sungai Besi.

“TDM menggerakkan sebuah kenderaan KEMBALIK dari pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD Mek) dari Kem Batu 10, Kuantan dan sebuah KPKP dari Kem Perdana Sungai Besi ke lokasi kemalangan bagi membuat penarikan KPKP dan pengambilan 2 KJA yang terlibat kemalangan ke pasukan bagi tindakan selanjutnya.

“TDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan berlaku,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini