KUALA LUMPUR: Tindakan penduduk meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran Flat Sri Sabah, Cheras di sini, menyukarkan pasukan bomba dan penyelamat untuk memadam kebakaran di Blok 70 pangsapuri itu, hari ini.
Mengatasi masalah itu bantuan trak tunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dipanggil bagi mengeluarkan kenderaan yang menghalang sekali gus membuka laluan untuk kemasukan jentera bomba.
Berdasarkan maklumat awal, kebakaran itu berlaku pada 9.30 malam tadi, yang membabitkan sekurang-kurangnya enam unit rumah.
Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah dan tingkat lain.
Tinjauan Harian Metro setakat 11.30 malam mendapati api sudah berjaya dipadamkan dan kerja ‘overhaul’ sedang berjalan.
Difahamkan, kebakaran itu tidak membabitkan kemalangan jiwa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.