Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Kemalangan jalan raya yang membabitkan lapan penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir ketika dalam perjalanan ke Port Said, Mesir berpunca apabila kenderaan dinaiki mereka terlanggar objek di atas jalan raya.
Setiausaha Pertama Pendidikan (EME), Hashim Zaini memberitahu, kejadian yang berlaku ketika waktu senja itu, membuatkan kenderaan tersebut berpusing sehingga menyebabkan kesemua mereka mengalami kecederaan ringan.
“Hasil siasatan menerusi kenyataan dari pelajar-pelajar berkenaan, bahawasanya dia terlanggar sesuatu dalam perjalanan.
“Dengan keadaan cuaca dah agak menjelang petang ke malam, daripada pelanggaran objek di jalan tersebut maka mengakibatkan kenderaan tersebut berpusing beberapa kali.
“Pelajar yang duduk di belakang mengalami kecederaan yang lebih sikit, berbanding dari kawan-kawan di bahagian depan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Selain itu katanya, ketiga-tiga pelajar yang cedera dan dimasukkan ke Hospital Sayed Galal, Kaherah akan menerima rawatan susulan.
“Semalam setelah kita bertemu dengan pelajar-pelajar berkenaan dan juga wakil dari universiti dan pihak hospital, pelajar ini dibawa ke Hospital Sayed Galal menggunakan ambulans dari Hospital Port Said kerana katil penuh.
“Hari ini hospital akan buat rawatan dan semakan susulan sebelum hospital keluarkan laporan kesihatan mereka. Pegawai kita akan teliti dengan lebih rapat dengan pihak hospital sebelum keluarkan kenyataan rasmi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.