KUALA LUMPUR: Semua kenderaan berat perlu diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala di bawah pengawasan ketat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi memantau kenderaan berat yang tidak selamat daripada berada di jalan raya.
Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Manivanan Gowin berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus melipatgandakan usaha penguatkuasaan dengan mengenakan denda berat dan tindakan tegas terhadap kenderaan berat yang gagal mematuhi piawaian keselamatan.
“Pemantauan secara berkala dan meluas amat penting untuk mencegah kenderaan tidak selamat daripada berada di jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, mengulas tragedi kemalangan maut di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang meragut tujuh nyawa Isnin lalu.
Nahas ngeri di Kilometer 204, PLUS arah utara itu membabitkan lima kenderaan termasuk bas persiaran membawa 27 penumpang, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, lori, treler dan Perodua Bezza, berpunca daripada tayar lori tercabut yang berada di lorong tengah laluan berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operator pengangkutan berat wajib melaksanakan program latihan keselamatan berterusan lebih menyeluruh, khususnya untuk pemandu lori dan bas.
“Latihan ini harus merangkumi pengetahuan mendalam mengenai pemanduan berhemah, pemahaman terhadap undang-undang jalan raya serta penerapan prinsip keselamatan yang mutlak.
“Hanya kesedaran dan disiplin tinggi, kemalangan dapat diminimumkan,” katanya turut mengesyorkan mewajibkan penggunaan teknologi terkini seperti Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan telematik dalam semua kenderaan berat untuk memastikan masalah mekanikal dikesan secara langsung.
Katanya, teknologi itu mampu memberi amaran awal tentang potensi kerosakan yang boleh membahayakan nyawa, disamping memastikan tahap keselamatan yang lebih tinggi di jalan raya.
Selain itu beliau berkata, agensi kerajaan, operator pengangkutan, pihak berkuasa tempatan, serta organisasi bukan kerajaan mesti berganding bahu dalam merangka pelan strategik jangka panjang untuk keselamatan jalan raya.
“Kerjasama ini harus merangkumi pengenalpastian masalah, penyelidikan berterusan, dan pelaksanaan dasar-dasar keselamatan yang lebih ketat dan efektif.
“NIOSH juga memiliki pasukan pakar yang berkemahiran tinggi untuk membantu pihak berkuasa dan agensi berkaitan dalam mengenal pasti punca masalah keselamatan dan mencari penyelesaian yang lebih efektif dan lestari.
“Pasukan ini bersedia menjalankan analisis teknikal, penyiasatan punca kemalangan, serta mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang tepat dan sesuai,” katanya.
Sementara itu, katanya NIOSH juga menawarkan kursus pemanduan berhemah dan latihan berkaitan ISO Pengurusan Trafik yang bertujuan meningkatkan kesedaran pemandu serta membantu organisasi dalam mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang relevan.
“Program-program ini adalah satu usaha proaktif bagi mengurangkan kemalangan yang melibatkan kenderaan berat,” katanya.