OIeh: Kumaran Rajamoney
LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan keikhlasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dalam menjaga kebajikan penjawat awam, apabila gagal melaksanakan kajian kenaikan gaji.
Kerajaan terdahulu katanya tidak menjalankan mesyuarat sepanjang tempoh pemerintahannya bagi membincangkan soal kenaikan gaji berkala itu.
“Ini peraturan kita, tiap 10 tahun ada kajian dilakukan. Sepatutnya 2 tahun sudah dilakukan. Jangankan naik, mesyuarat pun tak ada.Saya telah meminta kepimpinan tertinggi kerajaan untuk teliti semula keputusan kenaikan gaji penjawat awam ini.
“Kalau dikutkan lima atau enam bulan lagi pun tak selesai kajian ini kerana ia melibatkan beratus skim. Sementara kajian dijalankan, kita akan naikkan dahulu sedikit gaji menerusi Belanjawan Madani yang akan dibentangkan nanti,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan juga akan memperkenalkan elaun seberang laut kepada penjawat awam yang bertugas di Langkawi bagi mengimbagi keperluan kos tambahan yang perlu ditanggung mereka.
“Sebelum ini, saya dah umumkan elaun kepada mereka dari Sabah dan Sarawak yang bekerja di semenanjung tidak mendapat elaun. Itu kita sudah baiki. Sekarang kita akan perkenal kepada mereka yang bekerja di Langkawi.”
Pada masa sama, kerajaan juga katanya akan mengimbangi kenaikan gaji pekerja sektor swasta dengan mencari dana bagi menampung sebahagaian bayaran penyelarasan.
Beliau berkata, tidak banyak negara yang melakukan perkara itu tetapi Kerajaan Perpaduan tetap akan memikirkan bagaimana kaedah dan pelaksanaannya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Program Walkabout Pelancongan dan Perasmian Geopark Discovery Centre (GDC) di Kilim Geoforest Park, di sini, hari ini.