KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak bercadang menaikkan tarif elektrik memandangkan peningkatannya antara lain dilihat hanya akan mengakibatkan aktiviti pelaburan di negeri ini terjejas.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemampuan negeri menjana tenaga menerusi empangan hidroelektrik, menyebabkan Sarawak mempunyai kekuatan dari segi sumber tenaga elektrik.
“Selain itu tarif (elektrik) kita pun tidak tinggi dan masih (menggunakan) harga lama. Kalau harga elektrik tinggi, pelabur tidak akan masuk dan kontraktor pun akan mengalami kesusahan untuk membayar bil elektrik yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam dan perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Sarawak kali ke-24 di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata penambahan projek empangan hidroelektrik di Sarawak yang kini dalam proses pembinaan seperti Empangan Trusan di Lawas dan Empangan Baleh di Kapit akan meningkatkan sumber tenaga elektrik di negeri ini.
Pada Jumaat, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik susulan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023, di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT).
Beliau berkata ia merangkumi 99 peratus daripada pengguna domestik, di Semenanjung Malaysia.
Pada Februari lalu, Abang Johari mengumumkan kerajaan negeri bersetuju melanjutkan diskaun bil elektrik, membabitkan pengguna domestik, komersial dan industri menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) sebanyak lima hingga 25 peratus sehingga bulan ini. -BERNAMA