Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding berhubung Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan Awam dibawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara bermula 24 Februari ini.
Menurut Naib Pengerusi PAC, Teresa Kok, ia melibatkan 10 prosiding tertutup bersama pemegang taruh serta kementerian dan agensi yang terlibat.
“Jawatankuasa ini akan memanggil semua pihak berkepentingan dalam industri insurans kesihatan, hospital swasta, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli akademik.
“Sebanyak 10 prosiding telah dijadualkan untuk isu ini dan ia adalah sesi tertutup dengan sehingga prosiding selesai dan laporan dibentangkan di Dewan Rakyat,”jelasnya.
Sementara itu, Ahli PAC, Sim Tze Tzin berpandangan prosiding itu dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum laporan akhir dibentang di Dewan Rakyat.
Tambahnya, semua keterangan yang diperoleh daripada sesi pendengaran awam serta prosiding tertutup akan dimasukkan dalam Penyata PAC.
“Kita jangkakan untuk bentangkan (di Dewan Rakyat) pada Jun atau Julai ini. Kita tidak mempunyai masa yang panjang, kerana nak gubal undang-undang perlu proses yang panjang.
“Jadi cadangan syor (oleh PAC) yang baharu akan diberikan supaya agensi kerajaan boleh bekerja (untuk) draf undang-undang baharu,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Pendengaran Awam Prosiding Mengenai Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Takaful, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas mengenai sesi pendengaran awam itu tambah Teresa, ia adalah kali pertama diadakan bagi mendapatkan pandangan serta luahan rakyat berhubung isu berkenaan.
“PAC membuat keputusan untuk mengadakan sesi pendengaran awam buat pertama kali dalam sejarah jawatankuasa ini bagi mendengar sendiri maklum balas daripada rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga tidak terkawal dalam sektor hospital swasta serta premium insurans.
“Seramai 730 orang telah menyertai kedua-dua sesi pendengan awam di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dengan penyertaan di Kuala Lumpur sahaja di Dewan Rakyat hari ini berjumlah 550 orang,”katanya lagi.
Ahli PAC yang turut hadir dalam sesi pendengaran awam itu adalah Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail, Azli Yusof, Dr Halimah Ali dan Dr Richard Rapu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.