Tumpuan :
Nasional

Kenaikan peruntukan subsidi bahan api cetus risiko jangka panjang – Bank Dunia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kenaikan peruntukan subsidi bahan api di negara ini mencetuskan risiko kemampanan fiskal untuk jangka panjang, dengan Malaysia adalah salah satu daripada dua negara di rantau Asia Timur dan Pasifik (EAP) yang menyediakan subsidi bahan api secara langsung, demikian tegas Bank Dunia.

Institusi kewangan antarabangsa itu berkata, subsidi bahan api juga menjadi bahagian yang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Katanya, subsidi ini meningkat pada beberapa tahun ini disebabkan pandemik COVID-19 dan dijangka menelan kos sekitar RM37.3 bilion pada 2022 atau sekitar 2.3 peratus daripada KDNK.

Kenaikan berterusan dalam subsidi bahan api ini, katanya merumitkan kemampanan fiskal jangka masa panjang, justeru terdapat tekanan supaya pembaharuan subsidi diperkenalkan.

“Pertimbangan perlu diberikan kepada penghapusan subsidi itu. Walaubagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa berbuat demikian boleh membawa kepada inflasi.

“Malah, kesan harga kepada pemansuhan subsidi ini juga tidak akan seragam merentas sektor,” katanya dalam laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia bertajuk ‘Expanding Malaysia’s Digital Frontier’ yang diterbitkan minggu lalu.

Bank Dunia berkata, sektor dengan input bahan api yang lebih tinggi, seperti kimia dan pengangkutan dijangka akan mengalami kenaikan harga yang besar sehingga 20 peratus jika subsidi bahan api dihapuskan.

“Beberapa sektor lain terutamanya dalam perkhidmatan seperti telekomunikasi dan insurans yang kurang bergantung pada bahan api berkemungkinan besar hanya terjejas sedikit oleh kenaikan harga bahan api.

Bank Dunia mengunjurkan inflasi di Malaysia berpotensi melonjak sebanyak sembilan peratus jika kerajaan melaksanakan pemansuhan sepenuhnya subsidi bahan api.

Bank Dunia berkata, jika jika hanya separuh daripada subsidi berkenaan dihapuskan, ia akan turut memberi kesan kepada inflasi.

“Ini adalah bukti kesan kenaikan harga bahan api kepada pengguna dan harga barangan lain. Kesan langsung ini hanya mengambil kira bahagian bahan api dalam bakul pengguna, sambil mengekalkan semua harga barangan yang lain,” kata institusi kewangan antarabangsa itu.

Sementara itu, Bank Dunia berkata kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) empat kali berturut-turut pada 2022 adalah langkah awal Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menguruskan risiko permintaan berlebihan terhadap tekanan harga, sekali gus mengimbangi risiko antara inflasi dan pertumbuhan.

Ia berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memetik bahawa peningkatan dalam ekonomi domestik dan pasaran pekerjaan adalaf faktor yang menyebabkan perubahan terhadap dasar monetari pada tahun lalu.

“Di sebalik kenaikan inflasi, jawatankuasa itu menjangkakan kadar inflasi tahunan pada 2022 adalah antara 2.2 dan 3.2 peratus. Kitaran meningkat ekonomi, yang dipacu oleh pemulihan pantas dan tekanan inflasi memberikan sebab untuk jawatankuasa itu melaksanakan dasar memperketatkan monetari,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini