GUA MUSANG: Pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah munasabah, selepas 12 tahun tiada kenaikan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelarasan berkenaan amat diperlukan penjawat awam terutama mereka yang dalam kumpulan sokongan.
“Kenaikan peratusan gaji itu munasabah kerana kos sara hidup yang tinggi dan kita tahu bahawa mereka sangat terbeban, maka dengan langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ia sedikit sebanyak melegakan mereka.
“Oleh itu, saya mengharapkan dengan kenaikan gaji ini tidak akan ada harga kenaikan barang dan kita mengharapkan kadar inflasi yang berada di tahap 3.5 peratus dapat dikekang (kenaikan) oleh agensi penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat Orang Asli di Pusat Daerah Mengundi di Pos Pulat, di sini hari ini.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus untuk pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan Fasa 2 pada 1 Januari 2026.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.