comscore
Tumpuan :
Nasional

Kenaikan gaji penjawat awam tidak ganjak pendirian kerajaan kurang hutang, defisit

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pendirian kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan hutang dan defisit fiskal negara tidak berganjak di sebalik pengumuman kenaikan gaji penjawat awam yang bakal dilaksanakan mulai 1 Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelarasan gaji itu dilaksanakan selepas kerajaan melakukan kerja dasar dan tahu dari mana sumber kewangannya.

“Kita dapat lihat umpamanya seperti mana (pelaburan) Microsoft. Bila dimulakan? Tahun ini. Bila Amazon mulakan? Tahun ini. Bila ACWA (syarikat Arab Saudi) datang? Dalam dua minggu akan datang.

“Bukan maknanya ini rencana tiga, empat tahun, kalau ada usaha seperti ini, kita yakin pendapatan negara akan bertambah, mutu khidmat penjawat awam akan lebih baik dan hasil kita akan bertambah.

“Dengan itu pandangan kita bagaimana mengurangkan kebergantungan kepada hutang dan mengurangkan defisit, itu tidak berganjak.

“Ada orang kata, ini adalah dasar ekonomi yang tidak rasional. Bagaimana kerajaan membelanjakan lebih kepada penjawat awam dan mahu mengurangkan hutang negara? Saya fikir ia bagaimana kita mengurus ekonomi dan tenaga pakar ada di sini (Kementerian Kewangan -MOF),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada perhimpunan bulanan bersama warga MOF, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

2 Mei lalu, syarikat teknologi dan perbadanan multinasional Amerika Syarikat (AS), Microsoft mengumumkan bahawa ia komited untuk melabur sebanyak AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam teknologi awan dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

Syarikat gergasi tenaga boleh baharu (TBB) berpangkalan di Arab Saudi, ACWA Power pula berminat untuk melabur lebih AS$10 bilion di negara ini dalam tempoh 10 tahun antara lain melibatkan penjanaan pusat data hijau.

Sementara itu, pada 2 Mac tahun lalu, Amazon Web Services (AWS) bakal membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion sehingga 2037.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri meminta pihak pembangkang untuk menghadiri sesi penerangan bersama Amir dan Johan bagi mengetahui soal ekonomi serta bagaimana kerajaan menguruskannya.

“Jadi jangan perlekehkan usaha kita kerana saya tahu sukar dan saya merenung berbulan-bulan, mesyuarat berpuluh kali untuk pastikan saya yakin dan saya nak, kalau kenaikan itu biarlah kenaikan yang bermakna, boleh naik lima peratus, saudara pun gembira tapi saya fikir adakah ia adil atau tidak,” katanya.

Ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 pada 1 Mei lalu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai Disember depan.

“Saya harap saudara kerja lebih dedikasi dan kita lebih tegas dengan saudara terhadap yang malas dan rasuah. Saya harus bagi ganjaran, pengiktirafan yang lebih (kepada penjawat awam yang bertanggungjawab),” kata Perdana Menteri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini