Tumpuan :
Nasional

Kenaikan elaun ‘on call’ pegawai perubatan dibincang Jumaat ini – Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media khas berkenaan waktu kerja berlainan bagi kakitangan sektor kesihatan di ibu negara. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Pegawai perubatan kerajaan dijangka menerima berita baik mengenai kenaikan elaun on-call selepas mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan Jumaat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa isu tersebut akan diputuskan secara muktamad dalam mesyuarat Kabinet berkenaan.

“Saya berkesempatan berhubung dengan Perdana Menteri sebentar tadi. Beliau menyebut kepada saya supaya menunggu keputusan (mesyuarat) Kabinet pada Jumaat ini untuk mendapatkan keputusan secara tuntas.

“Perdana Menteri menyebut kepada saya, kita akan membuat keputusan ini secara tuntas dalam (mesyuarat) Kabinet Jumaat ini dan jangan diumumkan buat sementara.

“Tapi semangatnya adalah seperti yang dinyatakan dalam ucapan saya pada Ogos (tahun lalu) dan juga dalam ucapan Perdana Menteri bahawa kenaikan itu adalah sesuatu yang beliau sebutkan dalam ucapan Belanjawan 2025.

“Jadi, perkara itu pada saya adalah posisinya begitu. Perincian dan pelaksanaannya itu bagaimana…(ikut) nasihat Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa bahagian doktor kerajaan dalam Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kecewa dengan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana masih mengelak daripada melaksanakan kenaikan elaun on-call seperti yang dijanjikan untuk doktor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini