Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Kenaikan 20 peratus bayaran haji bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 dan M40 untuk tahun 2025 diumumkan berdasarkan kedudukan kewangan semasa Tabung Haji (TH).
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, kos menunaikan haji memang dilaporkan meningkat seperti yang dimaklumkan oleh TH sebelum ini.
Beliau turut menjelaskan, subsidi yang dikeluarkan badan itu perlu dipertimbangkan mengikut kemampuan kewangan semasa.
“Soalan berkaitan Tabung Haji, kos memang RM33,000. Sebelum ini, Tabung Haji mempunyai kedudukan lebih baik maka subsidi yang diberikan juga lebih tinggi.
“Namun, selepas melalui proses penambahbaikan kedudukan kewangan sejak 2018, pertimbangan subsidi yang diberikan perlu seimbang, dan ini membawa kepada keputusan tersebut,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad di Dewan Negara, hari ini.
Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dalam sidang media memaklumkan bayaran haji naik sebanyak 20 peratus untuk tahun 2025.
Jelasnya, kenaikan itu melibatkan jemaah haji Muassasah kumpulan B40 dan M40 susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.
Bagi tahun 2025, kadar bayaran haji bagi kumpulan B40 ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 pada 2024, manakala kos keseluruhan haji Muassasah kekal sebanyak RM33,300 seorang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.