comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemunculan ‘Pak Belang’ risaukan penduduk

Kesan tapak kaki harimau yang dijumpai di sekitar rumah penduduk Kampung Tendrik, Pos Bihai. – Foto: Ihsan penduduk

GUA MUSANG: Kemunculan harimau belang yang berkeliaran di beberapa kampung di Pos Bihai dekat sini, merisaukan penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di kawasan itu.

Penduduk mendakwa haiwan itu mula berkeliaran di kawasan Kampung Tendrik, Kampung Sau, Kampung Hak, Kampung Badak dan Kampung Bihai Lama, sejak Jun lalu.

Penduduk, Apek Asud, 39, mendakwa, kemunculan harimau belang itu disedari penduduk apabila terdapat kesan tapak kaki harimau di kawasan rumah mereka.

Katanya, anjing peliharaan mereka juga dijumpai mati dipercayai akibat serangan haiwan liar itu.

“Boleh dikatakan hampir setiap malam haiwan liar itu akan berkeliaran di kawasan perkampungan kami. Pagi esoknya, akan ada kesan tapak kaki di kawasan rumah dan anjing yang mati akibat serangan haiwan liar itu.

“Sudah ada penduduk yang terserempak dengan haiwan liar itu. Apabila waktu malam, ada terdengar bunyi salakan anjing tetapi kami takut untuk melihat keluar apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Apek berkata, kerana kemunculan haiwan liar itu, penduduk kini hidup dalam ketakutan dan tidak berani untuk keluar sendirian.

“Memang sekarang kami lebih banyak berkurung dalam rumah, jadi untuk ke hutan atau ke kebun kami perlu pergi secara berkumpulan.

“Kami pun tidak pasti berapa ekor haiwan liar itu yang berkeliaran kerana ada kalanya kejadian serangan terhadap anjing peliharaan kami berlaku pada waktu malam dan di beberapa kampung,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berharap tindakan segera diambil oleh Perhilitan kerana penduduk kini takut untuk keluar bekerja.

Loading...
Terkini