comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 : PM ketuai delegasi Malaysia ke Laos

Oleh: Syafiqah Damanhuri

VIENTIANE: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-44 dan 45 yang berlangsung bermula 9 hingga 11 Oktober.

 

Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud berkata negara berhasrat untuk memanfaatkan platform pentas sidang kemuncak kali ini dengan memberi fokus kepada beberapa isu.

“Kita akan fokus antaranya memelihara keamanan dan kestabilan serantau, integrasi ekonomi dan digitalisasi dan teknologi baru kecerdasan buatan (AI) kesejahteraan rakyat dan warga ASEAN, perubahan iklim dan jenayah rentas sempadan.

“Juga isu-isu serantau dan antarabangsa yang meliputi Laut China Selatan, ketegangan di Myanmar, konflik di Gaza, Palestin dan kekejaman Israel di Timur Tengah yang melanggar undang-undang antarabangsa.” Katanya dalam satu sidang media pembuka tirai Sidang Kemuncak Asean di sini.

Jelasnya, Malaysia akan terus menyatakan pendirian tegas berhubung isu Laut China Selatan di platform berkaitan dan bersesuaian bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara kekal terpelihara.

Memperincikan program pada Sidang Kemuncak ASEAN ini, Edi berkata, Perdana Menteri dan pemimpin ASEAN lain akan menghadiri lebih 20 sidang kemuncak, mesyuarat dan pertemuan dua hala.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN pada Rabu (9 Okt), pemimpin negara ASEAN itu akan mengadakan pertemuan dengan wakil dari Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).

Pada Khamis (10 Okt) , beberapa sidang kemuncak dengan negara rakan dialog akan diadakan, termasuk dengan China, Korea Selatan, Jepun, ASEAN Campur Tiga, Australia, India dan Kanada.

Manakala, pada Jumaat (11 Okt), Perdana Menteri akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ke-12, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) Ke-19 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-14, serta Mesyuarat Ke-2 Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia.

Menurut Edi, Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 dan Datuk Seri Anwar dijadual menyampaikan ucapan ringkas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini