comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemudahan MRSM Terendak paling daif, uzur – Asyraf Wajdi

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan lawatan mengejut di MRSM Terendak, hari ini. FOTO: NSTP/ Foto ihsan Asyraf Wajdi Dusuki

AYER KEROH: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi mendedahkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Sungai Udang merupakan paling daif dan uzur dalam negara.

Dengan banyak kemudahan sudah rosak, kotor dan tidak boleh digunakan, keadaan itu mengejutkan Asyraf Wajdi yang membuat lawatan segera ke situ hari ini.

Ia susulan laporan mengenai 48 pelajar MRSM Terendak mengalami keracunan makanan, malam semalam.

Dapur di Dewan Selera MRSM terbabit juga kotor dan menjijikkan, bilik air dan tandas rosak sehingga tidak boleh digunakan, manakala beberapa ruang pejabat juga mengalami kerosakan terus sehingga mengganggu pengoperasian pengurusan dan pentadbiran.

Melihat keadaan itu, Asyraf Wajdi menyifatkan MRSM Terendak adalah pusat pendidikan di bawah MARA yang paling teruk dan daif pernah dilawatinya setakat ini.

“Saya melihat sendiri keadaan daif di MRSM itu. Setakat 40 MRSM yang sudah di lawati, inilah yang paling teruk pernah di tengok dan penilaian saya, MRSM Terendak ini dalam keadaan yang sangat daif dan uzur terutamanya fasiliti tertentu.

“Dalam konteks ini, saya akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk MARA memberikan keutamaan menaik taraf kemudahan asas seperti tandas termasuk ada bilik guru yang tidak boleh digunakan langsung,” katanya.

FOTO: NSTP/ Foto ihsan Asyraf Wajdi Dusuki

Beliau ditemui selepas menghadiri perasmian Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW 2024 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Susulan itu, beliau mengarahkan pengurusan MRSM Terendak menyenaraikan keutamaan dalam tempoh sebulan dengan menggunakan peruntukan khas yang diluluskannya berjumlah RM400,000.

“Paling penting sekali tandas, bilik guru dan asrama mesti pada tahap yang baik kerana saya sudah meluluskan RM400,000 untuk tujuan penyelenggaraan kemudahan itu.

“Pada saya, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku di MRSM berusia 41 tahun itu yang mempunyai 663 pelajar dan saya mengambil serius perkara ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 48 pelajar Tingkatan 1 dan 2 MRSM Terendak mengalami keracunan makanan.

Katanya, kejadian itu bermula dengan lapan pelajar mengalami simptom berkenaan malam tadi.

“Tadi saya bersama Pejabat Kesihatan mendapati dapur masak di Dewan Selera MRSM terbabit kotor dan mempunyai najis selain keadaan dapur yang tidak terurus.

“Namun pihak Pejabat Kesihatan masih melakukan siasatan punca sebenar keracunan makanan berkenaan sama ada dari bahan masakan di dapur Dewan Selera itu atau pun makanan yang dibawa dari luar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini