Tumpuan :
Nasional

Kemudahan infrastruktur, sumber manusia Hospital Selayang akan ditambah baik 

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menggariskan rancangan strategik bagi menambah baik kemudahan infrastruktur dan sumber manusia untuk Hospital Selayang di Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang melakukan lawatan mengejut ke hospital itu hari ini berkata, antara permasalahan yang dikenal pasti adalah Sistem Maklumat Hospital Bersepadu (THIS) yang telah tergendala untuk sekian lama menyebabkan semuanya dibuat secara manual.

“Hari ini saya dapat melihat secara dekat dan kenal pasti keperluan mendesak…ada perkara penting yang saya akan bangkitkan dalam mesyuarat Kabinet dan saya mahukan perolehan dibuat segera.

“Antara yang saya perhatikan tadi adalah sistem THIS yang sudah tergendala sekian lama menyebabkan semuanya dibuat secara manual…kita akan tangani segera sistem digitalnya, perolehan peralatan dan meredakan kesesakan di hospital termasuk (menambah baik) perkhidmatan lif,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata rancangan strategik bagi menambah baik kemudahan infrastruktur dan sumber manusia untuk Hospital Selayang perlu bagi memastikan hospital itu tidak hanya memenuhi, tetapi melebihi harapan rakyat dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan yang efisien dan efektif.

Selain turut menghargai ketabahan dan kreativiti petugas hospital berkenaan dalam mengekalkan perkhidmatan pesakit yang lancar.

Beliau berkata keazaman untuk menaik taraf fasiliti hospital yang telah beroperasi sejak 1999 itu dengan memperkukuh sistem informasi adalah bukti usaha berterusan KKM dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

Datuk Seri Dr Dzulkefly turut meninjau operasi harian beberapa jabatan penting hospital berkenaan termasuk Jabatan Teknologi Maklumat, Jabatan Rekod Perubatan, Jabatan Patalogi, Perkhidmatan Klinik Pakar dan Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Turut serta Pengarah Hospital Selayang,  Dr Afidah Ali, Timbalan Pengarah Perubatan II, Dr Siti Zufina Abd Samah dan ketua jabatan klinikal serta pengurusan hospital.

Loading...
Terkini