KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia, KPM akan menambah baik kemudahan asrama sedia ada serta asrama yang bakal dibina di sekolah pedalaman di Sabah bagi memastikan pengunaannya dioptimumkan.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, penambahbaikan ini bagi mengatasi masalah pelajar yang berdepan kesukaran untuk ke sekolah akibat kekangan kemudahan terbabit.
Cadangan itu termasuk membina lebih banyak asrama desa atau asrama harian di kawasan pedalaman.
“Itu merupakan satu pendekatan kita, ada kawasan yang mana murid-murid perlu berjalan jauh. Bukan sahaja naik bot dan sebagainya, ada yang terpaksa berjalan.”
“Di negeri Sabah ni, kadang-kadang sejam pun jalan kaki untuk ke asrama dan ke sekolah. Sebab itu antara pendekatan kita adalah untuk melihat bagaimanakah kita dapat menambah baik kemudahan asrama, kemudahan asrama untuk anak-anak kita ini.”
“Dan dalam konteks ini juga, apa yang paling penting, adalah untuk anak2 ini mendapat ruang yang terbaik,” kata Datuk Dr Radzi Jidin.
Turut dalam perancangan, pemilihan tapak yang lebih sesuai dan dilengkapi kemudahan infrastruktur bagi pembinaan sekolah baharu pada masa akan datang.
Ujarnya, KPM bagaimanapun tidak mempunyai statistik khusus berhubung masalah itu kerana situasi berbeza mengikut kawasan di Sabah.
Masalah berkenaan melibatkan infrastruktur di luar sekolah dan bukannya dalam kawasan sekolah yang dipantau KPM.