Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Impian abang kepada pelakon filem Pulau, Ikmal Army untuk bergelar jutawan lebur apabila mendakwa ditipu ejen broker saham pelaburan forex menyebabkannya kerugian mencecah RM3.7 juta, Mac tahun lalu.
Mangsa, Mohd Zulhakim Amry Ghazali, 37, berasal dari Umbai, di sini, berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Kluang, Johor pada 4 Januari lalu selepas gagal mendapat penjelasan berhubung tuntutan keuntungannya itu daripada ejen broker terbabit.
Dia mendakwa mengenali broker terbabit pada 2018 sebelum menjalankan urus niaga dalam dagangan forex bagi wang kripto.
“Sepanjang berurus niaga saya berjaya membuat 10 kali transaksi bagi keuntungan antara RM4,000 ringgit hingga hingga RM45,000 dan tidak pernah ada masalah.
“Pada 19 Mac lalu saya teruja mendapati pulangan pelaburan saya sebanyak RM45,000 mendapat keuntungan RM3.7 juta (USD$800,000), namun apabila bangun keesokkan harinya saya dapati wang itu lesap,” katanya.
Beliau ditemui bersama isterinya, Norbiha Talib, 40, yang juga bekas broker pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Zulhakim yang berpengalaman 10 tahun dalam bidang pelaburan forex berkata, menjadi kelaziman dia akan membuat pengeluaran apabila wang pulangan masuk.
Menurutnya dia kesal apabila mendapati syarikat pelaburan itu masih beroperasi hingga kini namun enggan membayar wangnya.
“Saya mempunyai lebih 600 pelajar dalam bidang pelaburan ini di seluruh negara dan mereka juga masih dibayar pulangan pelaburan oleh syarikat terbabit yang berpengkalan di Masai, Johor.
“Saya cuba mendapatkan penjelasan dan mereka hanya memberi alasan gangguan pada sistem,” katanya.
Sementara itu, katanya, dia hanya membuat laporan polis selepas hampir setahun selepas berbincangan dengan rakan dan penguam,.
“Selama ini saya tidak tahu saluran mana untuk membela nasib dalam kes sebegini. Setakat ini peguam sudah menghantar notis tuntutan bayaran pada 2 Disember lalu kepada syarikat terbabit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.