![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BULETIN-TV3-N-2025-02-11T172652.993.jpg)
KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 sekolah dan universiti awam di seluruh negara akan terlibat dalam Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan internet dalam kalangan masyarakat.
Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kempen ini digerakkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkasakan pengetahuan rakyat tentang keselamatan dalam talian.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh keselamatan dalam talian dan menyediakan ruang digital yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan bersempena Hari Keselamatan Internet 2025 yang disambut hari ini.
Antara fokus utama kempen ini ialah melarang kanak-kanak di bawah 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial serta memastikan penggunaan internet sentiasa di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
Selain itu, ia turut memberi penekanan terhadap bahaya penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian, buli siber, serta jenayah pedofilia, di samping menggalakkan penggunaan internet secara selamat dan beretika.
Jelajah kempen ini telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, di Universiti Malaysia Kelantan pada 21 Januari lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.