
KLANG: Kempen Jualan Rahmah digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menawarkan barang keperluan pada harga lebih murah, tidak membabitkan sebarang impak kewangan kepada kerajaan.
Menteri, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat terutama golongan B40 dan miskin tegar itu sebaliknya adalah libat urus dengan pihak industri runcit.
“Kita mengajak semua pasar raya di seluruh negara menyertai Jualan Rahmah. Setakat ini, pihak kementerian sudah dan sedang membincangkan kerjasama dengan beberapa pasar raya, antaranya Econsave, Mydin, Aeon Big dan 99 Speedmart.
“KPDN boleh memberi permit jualan murah bagi mana-mana pasar raya untuk melaksanakan Jualan Rahmah sehingga empat bulan dengan sasaran tawaran harga barangan keperluan antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.
“Kita harap lebih banyak penggiat industri khususnya pasar raya dan dan pasar raya besar dapat bersama-sama kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini,” katanya selepas melancarkan Inisiatif Rahmah dan Kempen Penurunan Harga 1,000 Barangan Jualan Rahmah di Econsave Pandamaran, di sini hari ini.
Beliau berkata, Econsave menjadi perintis dengan melancarkan kempen penurunan harga 1,000 barangan dan Jualan Rahmah yang menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus sehingga 22 April ini di semua cawangannya di seluruh negara.
Katanya, kempen itu antaranya membabitkan penurunan harga tepung gandum, minyak masak, mi segera, kopi, susu tepung bayi, susu sejat, biskut, sabun dan lampin pakai buang, sama ada secara bermusim atau sebaliknya.
Jualan Rahmah adalah kempen Inisiatif Rahmah yang membabitkan tiga cabang lain, iaitu Bakul Rahmah, Pakej Rahmah dan Kafe Rahmah.
Terdahulu, Salahuddin memaklumkan, kerajaan memperkenalkan program berkenaan bagi membantu golongan B40 mendepani isu kos sara hidup yang dijangka lebih serius tahun ini.
“Program ini langkah jangka pendek bagi mengurangkan beban sara hidup golongan itu dalam tempoh enam bulan ini, dijangka dilaksanakan dalam tempoh 100 hari,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif itu, hubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian 03-88825881 / 5905 atau e-mel ke [email protected].