comscore
Tumpuan :
Nasional

Kementerian tegur langkah pengendali benarkan kontena berlogo ZIM keluar dari pelabuhan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Perjanjian Operasi dan Perjanjian Pajakan Tanah antara Kerajaan Malaysia dengan Malaysia Airports. – FOTO: NSTP

SEPANG: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memberi teguran kepada pengendali pelabuhan kerana membenarkan kontena tertera logo ZIM, syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, keluar dan berada di jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata larangan sudah dikeluarkan berhubung perkara itu.

Menurutnya, MOT baharu menerima laporan, pengendali pelabuhan tersilap membenarkan keluar sebuah kontena dan berada di jalan raya.

“Sebelum ini kontena itu dibawa oleh kapal bertaraf antarabangsa dan tidak lagi berlabuh di pelabuhan Malaysia selepas arahan larangan dikeluarkan,” katanya.

Beliau diminta mengulas video tular di media sosial mengenai lori kontena ZIM berada di lebuh raya pada Sabtu lalu.

Loke ditemui pada sidang media Majlis Pemeteraian Perjanjian Operasi dan Perjanjian Pajakan Tanah antara kerajaan dan Malaysia Airport di sini hari ini.

Dalam sidang media itu, Loke turut memberi jaminan kapal yang berpangkalan di Israel sudah tidak lagi dibenarkan berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini.

20 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan memutuskan tidak lagi menerima kapal menggunakan bendera Israel memasuki negara ini berkuat kuasa serta-merta, selain melarang kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Katanya, kerajaan turut memutuskan menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara berkuat kuasa serta-merta.

21 Disember 2023, Loke dipetik sebagai berkata ZIM perlu menguruskan sendiri 4,000 kontena mereka yang terkandas di Pelabuhan Klang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini