comscore
Tumpuan :
Nasional

Kementerian sasar perolehan aset dalam jangka masa yang ditetapkan – Menteri Pertahanan

Oleh Kumaran Rajamoney

LANGKAWI: Sejumlah 43 kontrak bernilai RM10.128 billion telah dimuktamadkan Kementerian Pertahanan bagi memperkukuhkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia melibatkan 20 Dokumen Kontrak, 21 Surat Setuju Terima dan 2 Surat Niat yang turut melibatkan perolehan beberapa aset pertahanan baharu.

“Sepatutnya lebih banyak kontrak ditandatangani, namun Kementerian Pertahanan sedang membuat penilaian khusus. Saya berharap kesemua aset ini dapat diterima dalam masa yang ditetapkan, dalam keadaan yang baik,” katanya.

Menurut Datuk Seri Mohamad lagi Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menerima 4 buah Helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk.

Kesemua aset akan berfungsi sebagai platform kepada Tim Nukleus bagi tujuan latihan dan tugasan penerbangan operasi melalui sewaan daripada Aerotree Defence & Services Sdn Bhd.

Manakala bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perolehan yang sedang berlangsung adalah membabitkan 18 unit FA-50 Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA).

Ia akan dibekalkan oleh Korea Aerospace Industries Ltd. (KAI).

Selain itu, TUDM juga akan memperolehi tiga unit Unmanned Aerial System (UAS) dan Associated Support Category Medium Altitude Long Endurance (MALE) Fasa 1 dari Turkish Aerospace Industries dan dua (2) unit Maritime Patrol Aircraft (MPA) Fasa 1 dan Associated Equipments dari Leonardo S.P.A.

Sebagai tambahan, Kementerian Pertahanan kini dalam perancangan untuk memperolehi lebih banyak aset pertahanan di bawah Rancangan Malaysia seterusnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani dokumen Kontrak, Memorandum Persefahaman (MoU), Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Niat oleh Kementerian Pertahanan di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23).

Majlis turut disaksikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Manakala Ketua Setiausaha,Kementerian Pertahanan, Dato’ Seri Muez Abd Aziz mewakili kerajaan Malaysia bagi menandatangani perjanjian tersebut.

Loading...
Terkini