comscore
Tumpuan :
Nasional

Kementerian Pengangkutan yakin MTL tidak jejas pembinaan ECRL

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hadir pada Majlis Menandatangani Momorandum Persefahaman (MOU) antara EPIC Berhad dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd di Hotel Primula. Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pengangkutan yakin pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer tidak akan terjejas walaupun musim Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh dijangka bermula hujung bulan ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pihaknya yakin Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sudah melakukan persiapan rapi dan mengambil kira semua faktor dan risiko yang ada terutama di negeri-negeri Pantai Timur.

Beliau berkata, ia termasuk pembinaan landasan yang lebih tinggi terutama di kawasan yang berisiko bagi memastikan ia tidak mudah terjejas akibat banjir.

“Semua sudah diambil kira (dan) saya yakin mereka telah membuat perancangan mereka dengan rapi (kerana) mereka tahu cuaca di Pantai Timur ini.

“MRL pun sudah ada pengalaman beberapa tahun, saya yakin mereka boleh membuat kerja mereka mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan (MRL) di sini hari ini.

Terdahulu, Loke bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran MoU antara EPIC dan MRL.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad, Ts Muhtar Suhaili dan CEO MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini