PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan dua pegawai penguat kuasa yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedua-dua pegawai itu sebelum ini ditempatkan di Atase Imigresen Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dan Kementerian ini akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam penyiasatan berhubung kes berkenaan, selari dengan hasrat dan usaha berterusan Kerajaan Madani dalam membanteras gejala rasuah.”
“Kementerian Luar Negeri sentiasa memberi perhatian utama kepada aspek integriti dalam kalangan kakitangan awam di Kementerian ini dan yang bertugas di perwakilan-perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Twitter.
Sebelum ini, laporan buletin tv3 memetik sumber sebagai berkata, dua pegawai agensi penguat kuasa direman SPRM kerana disyaki menerima wang rasuah bagi pengeluaran Visa Luar Negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.
Dua pegawai terbabit masing-masing lelaki dan wanita direman tiga hari bermula 18 sehingga 20 April 2023.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya Selasa lalu.
Sumber memberitahu Buletin TV3, SPRM mengesan beberapa transaksi kemasukan wang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek dan mereka telah diarah pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan.