comscore
Tumpuan :
Nasional

Kementerian Luar panggil Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Sweden hari ini

Foto: Kementerian Luar

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar hari ini memanggil Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Sweden bagi menegaskan kecaman keras Kerajaan Malaysia terhadap tindakan keji Rasmus Paludan yang membakar Al-Quran di Stockholm, minggu lalu.

Dalam kenyataannya, kementerian pada pagi ini, turut menyampaikan bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap keengganan berterusan oleh pihak berkuasa Sweden untuk mengambil tindakan ke atas Paludan.

“Ia membolehkan dia meneruskan perbuatan terkutuk itu termasuk insiden sama pada April 2022, meskipun mendapat tentangan masyarakat antarabangsa.

“Kementerian juga menggesa pihak berkuasa Sweden mengambil langkah serius menentang sebarang unsur keganasan dan kebencian terhadap Islam di negara itu, kerana ia menjejaskan semangat hidup bersama secara aman dalam dunia berbilang agama, sekiranya Islamfobia dan xenofobia ini berterusan,” katanya, hari ini.

Kementerian Luar juga mengambil maklum mengenai sesi taklimat yang dihoskan oleh Timbalan Menteri Luar Sweden, TYT Jan Knutsson, pada 23 Januari lalu di Kementerian Luar Negeri Sweden, Stockholm yang turut dihadiri wakil kedutaan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Malaysia.

“Kementerian ini juga menggesa Kerajaan Sweden mengambil inisiatif yang kukuh bagi menyelaras pendirian mereka dalam menghormati masyarakat Islam secara menyeluruh,” katanya.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Sweden di Kuala Lumpur juga mengambil maklum bantahan Kerajaan Malaysia dan akan menyampaikannya kepada Stockholm.

Loading...
Terkini