comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kementerian Luar atur persiapan pindahkan pelajar Malaysia di Dhaka dan Mymensingh

 


KUALA LUMPUR: Kementerian Luar sedang mengatur pemindahan semua pelajar Malaysia di Bangladesh ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka demi keselamatan mereka.

Wisma Putra dalam kenyataan, hari ini berkata walaupun berhadapan cabaran daripada segi logistik dan keselamatan serta masalah komunikasi berikutan sekatan internet, pihaknya komited untuk memastikan keselamatan semua pelajar yang terkesan.

Katanya, Kementerian Luar sedang memantau dengan rapat situasi genting di Bangladesh, yang menimbulkan kebimbangan keselamatan pelajar Malaysia dan keluarga mereka di Dhaka dan Mymensingh.

“Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hassan) telah mengarahkan untuk mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan dan perlindungan pelajar kita.

“Ini termasuk memindahkan mereka ke Suruhanjaya Tinggi dan kediaman rasmi, di mana persiapan sedang dilakukan untuk menempatkan mereka dengan bekalan yang diperlukan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Suruhanjaya Tinggi sedang giat menyelaras usaha berkenaan walaupun berdepan cabaran yang besar terutama gangguan komunikasi akibat sekatan internet

“Walaupun hanya bergantung kepada khidmat pesanan ringkas (SMS) dan perintah berkurung mula dilaksanakan tengah malam tadi, Pesuruhjaya Tinggi akan terus memantau kebajikan semua pelajar yang terjejas,

“Pada masa ini, Suruhanjaya Tinggi merancang untuk ke Mymensingh untuk membekalkan makanan kepada pelajar yang tidak dapat membelinya.

“Seorang pelajar dari Universiti Pertanian Bangladesh berjaya dibantu menaiki penerbangan dan dijangka tiba di Malaysia hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Suruhanjaya Tinggi menggesa semua pelajar Malaysia yang memerlukan bantuan untuk kekal berhubung dan bekerjasama dengan mereka.

“Keselamatan dan perlindungan rakyat Malaysia di luar negara adalah menjadi keutamaan kami, dan setiap tindakan sedang diambil untuk membantu mereka,” katanya.

Semalam, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan terdapat 95 pelajar Malaysia di negara itu dan dua daripadanya telah meninggalkan Dhaka baru-baru ini dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini