Tumpuan :
Nasional

Kementerian ekonomi laksana libat urus pelbagai pihak, bincang RMK-13

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi giat melaksanakan pelbagai sesi libat urus, perbincangan, dialog serta mesyuarat kumpulan perancang antara agensi bagi mendapatkan input dan cadangan yang akan diambil kira dalam pembangunan kerangka Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).

Menterinya Rafizi Ramli berkata, pendekatan yang tangkas dan bersifat lebih mendekati rakyat amat diperlukan dalam pembentukan kerangka berkenaan, justeru penglibatan pelbagai pihak dan semua lapisan masyarakat juga diambil perhatian.

“RMK-13 perlu dirangka dengan lebih holistik, strategik dan inklusif bagi mencapai matlamat ekonomi madani untuk menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan malaysia sebagai peneraju ekonomi asia dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hassan berkenaan mekanisme dan strategi yang dilaksanakan kementerian bagi memastikan program Jelajah MADANI menjadi wadah terbaik dan berkesan untuk kerajaan mengumpulkan input dalam usaha merangka pelan RMK-13.

Menurutnya lagi, persidangan permulaan RMK-13 telah dilaksanakan dengan kerjasama bank dunia dan program pembangunan pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (UNDP) pada 5 dan 6 September lalu.

Ia sebagai platform untuk berkongsi maklumat dan pengalaman daripada pakar tempatan dan antarabangsa mengenai trend mega, isu dan cabaran sosioekonomi, serta strategi yang bersesuaian untuk diambil oleh kerajaan dalam merangka dasar dan hala tuju RMK-13

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor berkenaan bagaimana strategi kerajaan melalui jelajah madani membantu merapatkan jurang sosial antara negeri dan lokaliti, Rafizi berkata perbincangan bersama pemegang taruh dan penerima juga akan dilakukan.

“Apa yang kita ingin capai dalam RMK-13 ini, penilaian dan dasar itu tidak dilihat dari perspektif mikro semata mata dalam kalangan pemegang taruh peringkat atas yang membuat dasar, kita mahu mendengar sendiri daripada kumpulan penerima contohnya kumpulan nelayan, mahasiswa, anak muda di luar bandar kerana masalah masalah ini memang sedia diketahui tetapi yang menjadi cabaran kepada kerajaan ialah membangunkan program yang betul- betul berkesan dan tidak ada ketirisan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap melalui pelaksanaan jelajah madani kelak,ia dapat memberikan dapatan maklumat serta cadangan daripada penerima dan pemegang taruh bagi membantu menggarap kerangka RMK-13 sebaiknya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini