comscore
Tumpuan :
Nasional

Kementerian, agensi kerajaan dicadang mainkan lagu Negaraku seminggu sekali 

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Lagu Negaraku dicadang dimainkan seminggu sekali di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, cadangan itu bagi menerapkan patriotisme dalam kalangan penjawat awam.

“Lagi kerap lagi bagus (mainkan lagu Negaraku). Saya minta Kementerian Perpaduan Negara dapat perincikan lagi perkara ini agar satu Pekeliling tentang Pembudayaan Amalan Patriotisme penjawat awam dapat dikeluarkan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN, di sini hari ini.

Menurut Tan Sri Shamsul Azri, cadangan tersebut antara lima strategi dalam usaha penghayatan nilai dan tatakelola di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.

Ujarnya, strategi lain ialah meningkatkan penghayatan Malaysia MADANI menerusi Modul Latihan Malaysia MADANI yang digerakkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).

“Strategi kedua ialah memastikan perbelanjaan wang awam secara berhemah. Untuk ini, pengawalan sumber melalui amalan penjimatan dan larangan pembaziran perlu dilakukan.

“Justeru, satu pekeliling berkenaan dengan perkara ini perlu diwujudkan dengan mengambil kira elemen pemantauan dan pengiktirafan kepada kementerian yang dapat membuat penjimatan yang ketara,” katanya.

Beliau berkata, strategi seterusnya ialah memantapkan integriti dan akauntabiliti penjawat awam.

“Untuk ini, Petunjuk Prestasi Utama atau KPI melalui sistem MyPerformance perlu dimantapkan serta Sistem Demerit Performance Evaluation atau DEEP bagi ketua jabatan perlu diteruskan pelaksanaannya oleh JPA, dengan elemen baharu bagi kegagalan melaporkan kes rasuah perlu diberi penekanan.

“Strategi terakhir ialah memperkukuhkan budaya hijau dan kelestarian sumber dan dalam hal ini, saya minta Dasar Teknologi Hijau Negara (National Green Technology Policy, NGTP), Dasar Perolehan Hijau Kerajaan (Government Green Procurement, GGP), Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dan dasar-dasar hijau yang lain terus diperkasakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini