KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kemelut politik melanda Sabah tidak akan menjejaskan kerajaan di Persekutuan.
Anwar berkata, kemelut terbabit hanya membabitkan pimpinan politik peringkat Sabah.
Menurutnya, beliau juga sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Presiden Parti Warisan (WARISAN) di mana jalan terbaik adalah berbincang dan cari jalan penyelesaian yang baik.
“Ini (kemelut) tidak boleh digambarkan keadaannya (mengheret sehingga) di Persekutuan, kerana ini tidak sedikit pun mengubah (kerajaan).
“Setakat ini, tidak ada sedikit pun bayangan kerajaan Persekutuan akan berubah, melainkan yang disuarakan oleh pembangkang.
Dulu zaman menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pengkhianatan dari dalam,” katanya pada program Naratif Khas bersama Perdana Menteri terbitan RTM, malam ini.
Katanya, tokoh yang melakukan pengkhianatan ini juga sudah kecundang (kalah Pilihan Raya Umum ke-15).