Tumpuan :
Nasional

Kemelut politik Melaka kembali bergolak?

Datuk Seri Sulaiman Md Ali

AYER KEROH: Kemelut politik di Melaka didakwa kembali bergolak apabila spekulasi pertukaran Ketua Menteri Melaka kembali hangat diperkatakan dengan penyandang jawatan itu Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan bakal melepaskan jawatan itu esok.

Menurut sumber, perletakan jawatan itu bakal memberi laluan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka baharu yang merupakan hasil pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Difahamkan, Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Simpan Rahsia oleh Datuk Seri Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara sebagai Ketua Menteri Melaka ke-14 akan berlangsung Jumaat ini di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Sulaiman yang juga ADUN Lendu dalam pada itu telah mempengerusikan Mesyuarat EXCO negeri di pejabatnya di Seri negeri di sini pagi tadi.

Beliau kemudiannya mengadakan beberapa perbincangan dengan pegawai, sebelum menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang dijangka diadakan lewat petang ini.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan Datuk Seri Ab Rauf yang dijangka membincangkan beberapa isu termasuk berkaitan kontroversi mengenai pemilihan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu baru-baru ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan struktur pentadbiran kerajaan negeri akan berubah susulan pelaksanaan kerajaan perpaduan di peringkat negeri itu tidak lama lagi.

Beliau dilaporkan berkata, meskipun Melaka sudah melalui proses Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal, namun negeri itu masih belum lagi membentuk Kerajaan Perpaduan seperti yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

Isu pertukaran Ketua Menteri mula hangat beberapa bulan selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka yang diadakan pada 20 November 2021.

Loading...
Terkini