comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kembara Mencari Hikmah

 

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SABAK BERNAM: Tiada siapa menduga, bermula dengan satu perancangan untuk berbasikal secara solo ke London, England, berubah menjadi sebuah kembara bersama isteri tersayang yang tidak dapat dilupakan.

Lambaian Kaabah menguatkan tekad pasangan dari Sabak Bernam, Selangor ini untuk berbasikal sejauh 14,000 kilometer demi menjejakkan kaki ke bumi penuh keberkatan itu.

Apa yang boleh disimpulkan mengenai perjalanan sepasang suami isteri yang mengambil keputusan untuk berbasikal menuju ke Tanah Haram itu, umpama sebuah kembara mencari hikmah.

Kongsi Ahmad Isa 35 tahun, pada awalnya, dia merancang untuk berbasikal secara solo.

“Pada awalnya saya minta izin dengan ibu dan ayah saya untuk berbasikal ke London, tetapi mereka beri syarat yang saya kena kahwin dahulu.”

“Jadi saya pun minta umi saya untuk carikan calon, dan akhirnya saya pun berkahwin dengan isteri.”

Namun, selepas mendirikan rumah tangga dengan isteri tercinta, Noradilah Mohd Sapie, 36 tahun perancangannya berubah selepas ‘diusik’ isterinya itu.

“Saya tanya ustazah (isterinya), adakah selepas berkahwin, dia nak ikut kayuh basikal sampai ke London. Dan pada masa itu, dia kata dia nak ikut.”

“Tapi kemudian dia cadangkan pada saya, apa kata kita kayuh ke Mekah dan Madinah dahulu. Saya pun bersetuju lah dengan idea itu.”

Menurut Noradilah yang lebih mesra disapa Ustazah, impiannya untuk ke tanah suci Mekah terbit selepas melihat ibu dan ayahnya pulang dari ibadah haji.

“Ketika saya mendirikan rumah tangga dengan dia pada tahun 2014, dia ada beritahu yang cita-cita dia nak berbasikal ke London.”

“Jadi ketika itu, saya ambil peluang untuk cadangakan impian saya pula, dan ajak dia untuk mengayuh ke Tanah Suci terlebih dahulu sebelum ke London.”

Misi kayuhan itu bermula dari Kuala Lumpur, dilakukan pada tahun 2016 dan merentasi 14 buah negara sebelum tiba di Arab Saudi pada tahun berikutnya untuk menunaikan umrah.

Kata Ahmad, sepanjang perjalanan itu pelbagai pengalaman dirasai termasuk berdepan situasi mendebarkan.

“Banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Antaranya, kami hampir diculik dekat Afghanistan. Di Pakistan pula, ustazah masuk Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 3 hari, manakala saya pula kemalangan dan mendapat sebanyak enam jahitan di mata.”

“Itu merupakan beberapa perkara yang tak dapat dilupakan. Tapi bagi saya, ada hikmah yang sangat besar, kerana dalam perkara yang kita impikan, ada kos yang perlu dibayar, jadi itulah kos kami.”

Kini, Ahmad sedang mempersiapkan diri untuk melakukan kayuhan kali kedua bersama tiga lagi rakannya.

Tetapi, kali ini bagi menunaikan ibadah haji pula.

Kembara kali ini bakal menyaksikan Ahmad mengayuh basikal merentasi lapan buah negara dan akan bermula November ini.

“Saya merancang dengan beberapa orang sahabat, kami dalam 4 org lelaki untuk berbasikal ke Mekah pada November ini, dan dijangka akan tiba pada haji tahun depan.”

“Sebab isteri saya baru balik dari mengerjakan ibadah haji, jadi saya pun tercabar nak pergi haji.”

“Dan ini juga mungkin kerana keinginan untuk menunaikan haji di usia yang muda lah.”

Pelbagai usaha sedang dilakukan bagi mengumpulkan dana secukupnya, termasuklah menjual novel yang menceritakan pengalaman pertamanya bersama isteri ke Arab Saudi yang kini terjual lebih 35,000 naskah.

Loading...
Terkini