MIRI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang sedang dalam perjalanan dari Brunei ke Sarawak mengambil peluang untuk bermesra menyantuni petugas imigresen.
Meneruskan perjalanan hari ketujuh Kembara Kenali Borneo menuju ke Miri hari ini, Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ditemani Tunku Azizah berkenan turun dari kenderaan untuk menyerahkan sendiri pasport bagi mendapatkan cap imigresen di sempadan Brunei-Sarawak.
FOTO 2: – dilampir – Foto Ihsan Facebook Istana negara
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan turun dari kenderaan untuk menyerahkan sendiri pasport bagi mendapatkan cap imigresen di sempadan Brunei-Sarawak
Suasana itu dirakamkan ketika Kembara Kenali Borneo melalui kaunter pandu lalu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari untuk meneruskan perjalanan ke Miri bagi menghadiri majlis yang dijadualkan hari ini.
Hal sama turut dilakukan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat sama menyertai perjalanan Kembara Kenali Borneo di Sarawak.
Turut berangkat menyertai Kembara Kenali Borneo di Bumi Kenyalang itu, Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Sejurus berangkat meninggalkan ICQS, Seri Paduka berdua serta paduka anakanda meriah disambut rakyat Sarawak yang sedia menanti bagi meraikan keberangkatan rombongan diraja itu di sepanjang jalan sejauh hampir 30 kilometer (km) dari kompleks imigresen ke Miri Handicraft Centre, lokasi pertama persinggahan kerabat diraja itu di bandar raya ini.
Pelbagai gelagat sempat dirakamkan dalam perjalanan lebih dua jam itu sehinggakan jadual persinggahan Seri Paduka berdua yang sepatutnya berangkat tiba di Miri Handicraft Centre pada jam 11.45 pagi mengalami kelewatan.
Apa yang amat menarik perhatian adalah orang ramai yang meraikan keberangkatan Seri Paduka berdua ketika menunggu di bahu jalan memakai pakaian kebudayaan daripada pelbagai etnik suku kaum Sarawak seperti Kayan, Kelabit, Kenyah, Kedayan dan Iban.
Sebahagian mereka juga mengambil kesempatan dan bersungguh-sungguh mempersembahkan tarian tradisi ketika konvoi Kembara Kenali Borneo melalui jalan di kawasan perumahan mereka.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Miri Handicraft Centre, mendapati orang ramai mula berkumpul seawal jam 10 pagi di pekarangan pusat kraftangan itu untuk menyambut serta meraikan kunjungan pasangan diraja berkenaan di pusat kraftangan yang terletak di tengah bandar raya Miri.
Bukan sahaja dipenuhi masyarakat setempat tetapi ada juga penduduk dari daerah Betong sanggup menempuh perjalanan yang mengambil masa hampir lapan jam ke daerah ini kerana ingin melihat Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta keluarga diraja secara bersemuka. – BERNAMA