MIRI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Brunei, selepas singgah di Lawas, Sarawak malam tadi.
Menurut kenyataan Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Hassanal Bolkiah serta isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman.
Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat tiba di hotel penginapan di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 11.20 malam selepas melalui Pos Kawalan Imigresen Labu Temburong, Lawas.
Turut menyambut keberangkatan pasangan diraja itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei, Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan negara itu, Datuk Seri Setia Awang Muhammad Juanda Abdul Rasyid.
“Seri Paduka berdua bersemayam di Bandar Seri Begawan sebelum menyambung Kembara Kenali Borneo ke bandar raya Miri, esok,” menurut kenyataan itu yang dikongsikan kepada BERNAMA, hari ini.
Esok, Kembara Kenali Borneo akan memasuki semula Sarawak menerusi Miri dan beberapa acara sambutan turut dirancang sebelum bergerak ke Bekenu dan Bintulu pada keesokannya.
Kembara Kenali Borneo di Sarawak turut membabitkan persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum dilengkapkan dengan perjalanan ke Telok Melano, Lundu di selatan Sarawak pada 13 September ini.
Kembara Kenali Borneo yang bertujuan merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, telah mengakhiri pengembaraan di Sabah semalam yang bermula pada 3 September lalu.
Pengembaraan selama 11 hari itu membabitkan jarak perjalanan sejauh 2,154 kilometer dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – BERNAMA