KUALA SELANGOR: Pasangan kembar yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut dalam nahas dua kenderaan di Jalan Rizab Derahman, Jeram, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, kedua-dua remaja lelaki berusia 18 tahun, dari rumah mereka di Jalan Bukit Kuching, Jeram ke Bandar Puncak Alam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, kemalangan membabitkan motosikal Yamaha Y16 dan van Nissan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati nahas berlaku apabila penunggang motosikal cuba memotong van di laluannya.
“Namun disebabkan van itu membelok ke kanan, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa kemudian melanggar bucu kanan kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Mohd Ambia berkata, pelanggaran itu mengakibatkan motosikal berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh atas jalan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mereka dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, ” katanya.